-- saya bukan orang BN, saya juga bukan orang PR --
MASIHKAH kita ingat sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, arena politik negara berada dalam keadaan tidak stabil apabila Barisan Nasional (BN) yang tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen 'telah diancam' akan tumbang.
Segalanya kerana karenah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan sasaran untuk memastikan kerajaan BN tinggal sejarah pada tanggal 16 September 2008. Ketika itu Anwar dengan penuh angkuh menyatakan bahawa ramai Ahli Parlimen BN akan menyertai pembangkang atau dalam istilah politiknya melompat parti.
Walaupun ketika itu usaha Anwar dianggap tidak demokratik tetapi beliau tidak mempedulikannya malah pilihan raya kecil di Permatang Pauh pada Ogos 2008 dijadikan medan untuk 'menggemparkan' lagi negara dengan slogan 'dari Permatang Pauh ke Putrajaya'.
Tetapi akhirnya impian hanya tinggal impian. Tanggal 16 September berlalu begitu sahaja dan BN terus memerintah. Namun malangnya apabila BN kembali menguasai Perak berikutan langkah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR dan DAP mengisytiharkan keluar parti dan diikuti oleh ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang kembali kepada UMNO selepas 10 hari menyertai PKR, pembangkang menganggap apa yang berlaku adalah tidak demokratik.
Mereka mengecam BN dan UMNO habis-habisan seolah-olah apa yang mereka hendak lakukan pada 16 September lalu adalah sesuatu yang dihalalkan dalam amalan demokrasi. Bagi pembangkang, BN tidak berhak memerintah Perak dan kuasa penentu harus dikembalikan kepada rakyat.
Persoalannya, ketika Anwar bercakap soal menubuhkan kerajaan pada 16 September, apakah ketika itu pembangkang berfikir soal demokrasi dan hak rakyat? Tidakkah mereka sama-sama begitu beria-ia menantikan detik yang dijanjikan oleh Anwar tersebut?
Bagaimana pula dengan langkah mereka baru-baru ini yang menganggap tindakan Nasaruddin meninggalkan BN untuk menyertai PKR sebagai satu langkah bijak? Kenapakah Anwar yang mengadakan sidang akhbar bersama-sama Nasaruddin tidak menyebut pula soal tidak demokratik?
Justeru kita juga berhak bertanya, seandainya pakatan pembangkang berada dalam kedudukan BN seperti di Perak, apakah mereka akan mengambil jalan tengah meminta dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)? Malah kita juga ingin bertanya, kalau DUN dibubarkan dan BN memenangi pilihan raya negeri yang diadakan mahukah pembangkang berjiwa besar untuk mengiktirafnya, apa jaminan bahawa pembangkang tidak akan berkata ia pilihan raya 'paling jijik' pernah diadakan?
Pembangkang tidak harus mengamalkan sikap 'kalau mereka buat tidak apa, kalau orang lain buat salah'. Inilah mungkin yang boleh dikatakan sebagai mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih.
Oleh itu, tidak perlu pembangkang berusaha untuk menunjukkan merekalah paling demokratik sedangkan selama ini tindakan mereka menunjukkan sebaliknya. Pembangkang terutama Anwar harus memahami bahawa walaupun BN memperoleh semula kuasa di Perak melalui sokongan ADUN Bebas namun segalanya dilakukan mengikut prosedur dan undang-undang.
Apa yang paling penting, langkah BN mendapat perkenan Sultan Perak yang sudah pastinya mengkaji pelbagai aspek sebelum membenarkan parti itu kembali berkuasa. Berikutan keadaan itu, pembangkang harus belajar menerima hakikat politik.
Tidak usahlah cuba meracuni rakyat dengan menggalakkan mereka untuk mengadakan demonstrasi yang sudah pasti tidak akan mewujudkan kestabilan politik.
Segala yang berlaku bukan salah BN, ketiga-tiga ADUN berkenaan keluar parti kerana merasakan PKR dan DAP sudah tidak sehaluan lagi dengan mereka, BN tidak ada masa hendak memporak-perandakan pentadbiran kerajaan negeri di Perak sebelum ini.
Sebenarnya, apa yang berlaku di Perak adalah kesilapan pakatan pembangkang sendiri, selepas pilihan raya umum mereka tidak menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan kedudukan sebaliknya terus teruja dengan 'impian 16 September' Anwar. Akhirnya mereka bergembira di Permatang, bersorak di Kuala Terengganu tetapi tergadai satu negeri di Perak.
Apa pun tafsirannya, keputusan muktamad sudah dibuat. BN akan menubuhkan kerajaan negeri maka hormatilah keadaan itu. Kalau benar pembangkang begitu yakin bahawa rakyat Perak masih menyebelahi mereka maka bersabarlah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13. Jangan kucar-kacirkan lagi kehidupan rakyat.
==dicopy dari utusan online==
-- microprocessor --
0 Comments:
Post a Comment